From Babi With Love
[Kredit] |
Ke hadapan umat Melayu Muslim sekalian,
Hamba menulis warkah ini dengan penuh rasa keinsafan dan kesedaran bahawa hamba ini hanyalah makhluk yang marhaen lagi hina jika hendak dibandingkan dengan kalian yang diciptakan sebagai sebaik-baik ciptaan. Hamba juga menulis luahan rasa ini dengan niat yang baik, penuh dengan rasa mahabbah dan mawaddah pada kalian semua. Langsung tidak terlintas untuk menghina atau merendah-rendahkan martabat kalian sebagai manusia layaknya.
Begini.
Seperti yang tersebar dalam surat khabar dan media massa kalian, baru-baru ini telah heboh dengan berita bahawa DNA spesies kami ini ditemui dalam beberapa keluaran cokolat Cadbury. Rentetan daripada itu, telah berlaku kekacau-bilauan dan kehuru-haraan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ada makcik-makcik yang menanges-nanges sebab merasakan diri mereka tidak suci lagi. Ada yang telah mengisytiharkan jihad pada syarikat Cadbury. Ada yang mahu menyamak mulut dengan pasir. Ada juga yang mahu mencuci dan membuat pemindahan darah kerana merasakan darahnya sudah kotor dan jijik.
Alahai. Berguling-guling jugalah hamba dan rakan-rakan gamba tergelak.
Benarlah hamba ini hina. Tetapi tindakan dan reaksi yang keterlaluan sebegitu rupa, menambahkan penghinaan ke atas golongan hamba ini. Apa perlu begitu bersungguh bertindak sedemikian rupa?
Hamba yang tak belajar ikut sistem formal ini pon tahu, apa-apa sahaja yang dilakukan secara tidak sengaja atau tidak tahu, hukumnya tidak berdosa. Cukuplah sekadar beristighfar atau melakukan solat sunat taubat sekiranya masih merasakan tidak sedap hati atau tidak senang duduk.
Daripada
mahu mengisytiharkan jihad kepada Cadbury, lebih baik kan isytihar
jihad pada Israel laknatullah atau Bashar al-Assad itu...? Daripada mahu
saman Cadbury, kenapa tak saman sahaja kerajaan yang membiarkan kasino-kasino judi terus berleluasa, Da Mai Cai dan Magnum 4D terus beroperasi, kilang-kilang arak dan rokok terus maju dan berkembang...??
Hamba pon musykil juga, sebab setahu hamba, dalam kita agung nan suci bernama Quran itu, Allah hanya berfirman bahawa daging hamba ni haram dimakan. Itu sahaja. Itu pon dalam keadaan-keadaan tertentu, terpaksa atau kebuluran yang mendesak misalnya, daging hamba ini boleh sahaja dijamah dengan syarat pada kadar yang paling minimum dan bukan untuk mengenyangkan.
Yang pasti, barangsiapa yang termakan daging hamba, malah sengaja makan sekalipon, tiadalah pula hukuman di dunia yang akan dikenakan. Sekadar berdosa sahajalah.
Tapi kalau berzina? Boleh kena sebat atau rejam sehingga mati.
Kalau mencuri? Boleh kena potong tangan.
Minum arak? Wajar disebat.
Mengambil riba'? Allah isytihar perang!
Dah kenapa hamba ini yang kalian benci sangat? Dan pada masa yang sama, masih ramai dalam kalangan kalian yang main judi, yang main perempuan, main nombor, main riba' dan bermain-main dengan agama ini? Mengapa kalian tak benci dan jijik pada mereka ini seperti benci dan jijiknya kalian pada golongan hamba? Apa kalian tak baca Quran kah?
Betullah mencari yang halal itu wajib bagi umat Islam. Dan betullah daging hamba ni haram. Tapi mengapa ada diskriminasi pada perkara-perkara haram yang lain? Apa sebab kalian melihat hamba ni lebih haram daripada perkara-perkara lain yang lebih jelas haramnya? Apa sebab kalian ni alerjik tahap dewa dengan hamba dan kaum-kerabat hamba?
Sebab rupa hambakah? Sebab hamba pengotorkah? Sebab hamba ni gemok dan gebukah?
Sebab rupa hambakah? Sebab hamba pengotorkah? Sebab hamba ni gemok dan gebukah?
Seharam-haram hamba ni, sekurang-kurangnya hamba cuba untuk taat dan patuh pada Allah. Kalian? Yang Allah beri akal dan hati untuk berfikir dan menghayati alam ciptaanNya ini, bagaimana...?
"Tidakkah engkau tahu bahawa apa-apa yang ada langit dan apa-apa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak antara manusia? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pon yang akan memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki."
[al-Hajj, 22:18]
Nah, itu kata Tuhan hamba. Tuhan kalian juga. Apa kalian berani mahu menyangkalnya?
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pon melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun."
[al-Isra', 17:44]
Sejijik-jijik
hamba, hamba tidak pernah letih dan penat bertasbih padaNya. Dah,
kalian bagaimana..? Masa-masa kalian yang terluang, kalian buat apa? Bermaksiat? Mengumpat? Merasa diri hebat?
Sungguh hamba benar-benar tidak dapat mengotakkan tindakan keterlaluan segelintir daripada kalian. Maaf, hamba tak boleh nak garu kepala kehairanan kerana tangan hamba tak sampai.
Kadang-kadang hamba terfikir juga, mengapalah Allah menciptakan makhluk seperti hamba ini, jika Dia mahu mengharamkannya pula. Kadang-kadang itu terasa bawah juga. Terasa benar-benar hina dan tidak berguna.
Kemudian hamba terfikir. Boleh jadi, hamba ini diciptakan olehNya untuk menjadi ujian dan cubaan untuk kalian. Boleh jadi, hamba dilahirkan ke muka bumi ini agar dapat melihat siapa dalam kalangan hamba-hambaNya, yang benar-benar bersyukur dan bertaqwa!
"Maha Suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun."
[al-Mulk, 67:1-2]
Dengan kegilaan yang terbaru ini, hamba bertambah yakin dengan tujuan hidup hamba. Mungkin Allah nak uji kalian, adakah kalian benar-benar memaknai erti haramnya daging hamba untuk dimakan. Mungkin juga Allah nak uji kalian, apa sebab kalian benar-benar membenci golongan hamba. Dan mungkin juga Allah nak lihat kalian, sama ada kalian benar-benar faham tujuan hidup kalian sebagai khalifah di muka bumi ini.
Awas. Dalam kalian membenci sesungguh hati hamba dan sepupu-sepapat hamba, silap haribulan, kalian sebenarnya sedang menghina ciptaan Allah. Hamba yakin, bukan kebetulan Allah menciptakan makhluk seperti hamba ini.
Dan awas. Orang kata, jika benci, jangan benci terlalu benci. Sebab nanti, boleh jatuh hati! Ewah.
Baiklah. Itu sahaja yang hamba ingin luahkan.
Maaf andai ada yang terkasar bahasa. Maaf andai ada yang terguris rasa.
Hamba hanyalah seekor babi yang hina.
Oh ya. Mungkin ada yang tertanya-tanya. Mengapa hamba membahasakan diri hamba sebagai 'hamba,' bukan saya, gua, aku dan sebagainya?
Kerana hamba juga seekor hamba. Hamba padaNya.
Sekian.
-gabbana-
Berdebar-debar menanti-nanti komen dan reaksi untuk post ini.
Yang pasti, mesti ada yang sinis dan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata seperti:
"Oh Inche gabbana ni babi rupanya." atau
"Nak sangat jadi babi!" atau
"Gila Inche gabbana ni. Dalam banyak-banyak benda, babi yang mahu dipertahankannya!"
Tidak mengapalah. Kontroversi itu memang ada hubungan persaudaraan dengan saya. Jika ini caranya kebenaran dapat ditegakkan, saya rela!
Moga Allah redha!